Saturday, December 18, 2010

Balasungkawa: Haji Rafflis bin Ismail (1930 - 2010)

Tepat jam 0045hrs Jumaat 11 Muharam 1432 bersama 17 Disember 2010 ayahandaku yang amat dikasihi Haji Rafflis Ismail telah kembali ke Rahmatullah -- sesungguhnya janji Allah swt itu pasti -- tidak lewat sesaat tidak cepat seminit.




Ayahanda pergi setelah bergelut dengan barah hati selama empat tahun.

Pemergian ayahanda amat pantas. Ayahanda mengadu sakit perut pada hari Rabu. Seperti biasa ubat penahan sakit diberi segera. Alhamdulillah sakitnya lega. Tetapi ianya sementara cuma. Pada hari Khamis ayahanda mengadu sakit perut lagi. Adikku, Rafidah (beliau amat banyak berjasa kepada ayahanda) memutuskan untuk membawa ayahanda ke hospital Sg Buloh. Setelah diperiksa, doktor berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana hospital berkenaan tiada peralatan dan kepakaran untuk merawat penyakit seperti ayahanda hidapi. Kata mereka, hanya ubat penahan sakit boleh diberi.Seandainya mahu rawatan pakar, ayahanda dicadangkan dihantar ke Hospital Selayang. Ayahanda kata tak mengapa -- sakit dah mula reda. Doktor pun kata ayahanda boleh balik, tetapi sebelum dibenarkan pulang, berbondong-bondong ubat dibekalkan.

Petang hari Khamis yang sama, keadaan ayahanda semakin teruk. Sakit semakin kuat. Ayahanda muntah -- banyak sekali yang dimuntahkannya. Rafidah - kami adik beradik memanggilnya Didah - menelefonku.

"Wan, ayah mengadu sakit perut. Apa perlu Didah buat?" tanya Didah - panik. Aku kata, tenang. "Siapkan ayahanda, bawa dia ke Hospital Selayang, segera. Wan menyusul." Itu balasanku.

Tiba di hospital, keadaan ayahanda semakin teruk. Mula tidak keruan kerana menahan sakit. Doktor segera memberi morfin - penahan sakit terbaik. Selepas itu, ayahanda, seolah-olah di alam lain. Dia mula minta-minta mahu keluar hospital. Pastinya itu mustahil kerana bermacam-macam tiub sudah disambungkan pada tangan ayahanda. Malah, ayahanda diberi oksigen. Pada awalnya, doktor menjangkakan ayahanda kena serangan jantung kerana ayahanda memanifestasikan simptom-simpton serangan jantung. Nyata itu meleset dan dengan itu kesihatan ayah juga terus meleset. Doktor segera memasukkan ayah ke Wad 9A. Ayahanda tidak lama di situ. Kesihatan ayahanda semakin kritikal. Nampak seperti semakin hampir...Doktor semakin gusar. Kata mereka, ayahanda perlu segera ke Tingkat 5 -- kami pula panik. Di tingkat 5 terletaknya ICU, CCu dan HDW. Ayahanda diletakkan di HDW atau High Dependency Ward. Ayah sudah tidak memberi apa-apa respons langsung. Macam-macam bermain di kepala. "Is this the end? Can we delay the inevitable? Persoalan itu berlegar difikiran. Adik beradik sudah mula berkumpul. Ibu tiri juga berada di luar ward. Menangis. Berjam-jam menanti, lebih kurang jam 11 malam doktor memanggil semua waris. Doktor kata bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kamidibenarkan berhimpun di katil ayahanda. Buatlah apa yang perlu. Baca Yasin. Berdoa. Buatlah apa yang perlu, kata doktor. Kami sekeluarga dibiarkan bersendirian. Ada yang membaca yassin, ada yang membisikkan syahadah di telinga ayahanda dan ada juga yang mengurut-urut kaki dan tangan ayahanda. Di hati kami berharap agar ayahanda kembali sedar dan memberikan senyuman. Tetapi terbenam jauh di ruang hati, kami tahu ayahanda sudah tiada. Tanggapan itu nyata benar. Tepat jam 1245 pagi Jumaat 11 Muharam doktor memyampaikan perkhabaran yang kami semua sudah jangkakan. "Maaf, ayahanda awak sudah tiada."

"Selamat tinggal ayahanda."



"Wan kini yatim piatu. Ayah dah pergi,dengan siapa Wan nak gaduh? Dengan siapa Wan nak tanya pasal kehidupan ini? Tidak dapat lagi Wan dengar "anecdotes" ayahanda yang menarik didengar."


Selamat tinggal ayahanda.

Maafkan segala kesilapan Wan.

Sesungguhnya kami sekeluarga redha dengan pemergian ayahanda. Berihatlah. Tenanglah. Janganlah risau mengenai kami anak-anak ayahanda. Biarlah kami mengharungi kehidupan ini. Insya Allah, ayahanda sudah memberi bekalan secukupnya untuk kami melangkah ke hadapan. Tidurlah...kami - anak-anak ayahanda - akan menyusul.

Wan doakan semoga roh ayahanda ditempatkan dikalangan orang-orang yang terpuji di sisi-Nya.

Amin dan Al Fatehah.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti.

12 comments:

  1. Salam pantai-timur;

    SALAM TAKZIAH PAK WAN...sabar dan pasrah dengan ketentuanNYA....selesai je membacanya tak sedar airmata menitis seakan peristiwa itu baru saja terjadi wlupun ianya sudah berlalu 18tahun dulu sewaktu ibu kesayanganku jga pergi meninggalkn aku...begitulah perasaan seorang anak yg baru kehilangan ayah..ibu buat selama-lamanya...

    walaupun mereka hilang dimata tp mereka tetap di hati kita....

    ReplyDelete
  2. Salam takziah dari saya sekeluarga untuk Pak Wan.Sabarlah dlm menghadapi semua ini. Seperti kami juga, yg pernah melaluinya saya pasti Pak Wan lebih tabah. Apabila sampai waktu dan ketika, kita pasti akan hadapinya. Betul kata2 Izan tu semuanya terhenti ibarat terhentinya lakonan manusia atas muka bumi ini. Al Fatihah.
    Semoga Pak Wan dapat jumpa ayahnya dlm mimpi, didalam keadaan tersenyum tenang -menandakan arwah 'senang' disana. Amin..

    ReplyDelete
  3. Salam tahziah pak wan sekeluarga.al Fatihah.

    ReplyDelete
  4. Sahabatku Pakwan,
    "Sesungguhnya kami akan menguji kamu dari ketakutan dan kelaparan dan kekurangan harta dan kematian dan buah-buahan dan sampaikan khabar gembira pada mereka yang sabar. Mereka yang bila ditimpa musibah berkata, "Inna lillahi waina ilahi raji'un. Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah, dan kepadaNya akan kembali.(AlBaqarah 155-156)
    "Mereka yang sabar sabar itu mendapat shalawat taufiq dan ampunan dari Tuhan dan rahmat dan merekalah orang orang yang mendapat hidayat." (157)

    ReplyDelete
  5. takziah wan,moga allah mencucuri rahmat keatasnya

    ReplyDelete
  6. Salam takziah, semuga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

    ReplyDelete
  7. Salam
    Kepada semua sahabat saya ucapkan terima kasih. Semoga kami semua dicucuri rahmat dan hidayah-Nya.
    Wassalam

    ReplyDelete
  8. Pak Wan

    Salam takziah semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya dan ditempatkan bersama para solihin.

    ReplyDelete
  9. Salam takziah kepada Pak Wan sekeluarga. Semoga ALLAH mencucuri rahmat kepada insan yang dikasihi. Al-fatihah

    ReplyDelete
  10. Sedihnya Anna baca. Semoga Wan & family tabah dengan pemergian yang dijanjikan ini. Alfatihah

    ReplyDelete
  11. Salam takziah buat Pak Wan dan keluarga...Al-Fatihah

    ReplyDelete

You are free to comment here...