Wednesday, August 17, 2011

Akhirnya Aku ditinggalkan juga....


Aku amat takut perkara ini berlaku. Namun sebagai manusia aku harus menerima kenyataan bahawa yang hidup akan mati dan kita semua akan kembali kepada Maha pencipta kita. Mimpi buruk aku ditinggalkan Ibu sering bermain dalam tidur ku...Akhirnya tanggal 11 ogos ianya menjadi kenyataan...tarikh itu tidak mungkin dapat aku lupakan selama-lamanya. Saat kehilangan bonda tercinta sekali gus membuat separuh jiwa ku hilang. Sukar menerimanya tapi hidup ini mesti diteruskan....

Dua bulan sebelum ibu ku menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia jatuh sakit yang amat teruk sehingga tidak berdaya untuk bangun. Aku menguruskan keperluan ibuku dan sanggup tidak bekerja kerana aku tak sampai hati membiarkan dia dalam keadaan yang amat uzur...aku juga ingin menjaganya dengan sebaik mungkin supaya dia cepat sembuh. Orang kata kasih sayang dan perhatian seorang anak dapat menyembuhkan apa juga penyakit. Berdasarkan itu aku cuba sedaya upaya untuk memberikan terbaik kepada ibu ku agar dia dapat sihat dan kembali bersama ku seperti waktu dulu. Kita merancang tapi Allah menentukan segalanya...walaupun aku telah mencuba yang terbaik...Namun keadaan ibu semakin hari semakin parah. Aku terpaksa membawa ibu kehospital untuk menerima rawatan. Setelah berada di unit ICU selama dua minggu ibu minta pulang. Dia sudah tidak tahan dicucuk dan ditebuk kerana penyakitnya itu. Aku akur pada permintaan ibu dan aku bawa dia pulang kerumah.

Tiga minggu berada dirumah keadaan ibu semakin hari semakin baik. Dengan keadaan nya yang semakin pulih aku yakin dia akan sihat seperti biasa. namun takdir telah menentukan segalanya...Dua hari sebelum meninggal ibu menangis sepanjang hari meminta aku memeluknya dan jangan tinggalkan dia walau sekejap. Keadaannya masa itu tidak teruk tetapi dia mahukan perhatian yang teramat lebih. Malam sebelum meninggal dunia, Ibu menjadi pendiam, tapi sewaktu tidur dengan ibu aku peluk dia dan cium dahinya sambil membaca Al Fatihah dan Asma Ul Husna....tiba2 Ibu batuk dan meminta air, aku bingkas bangun dan mengambil air, tatkala menyuapkan air ke mulut ibu ...dia sesak nafas dan dengan tiga kali menarik nafas ibu telah tiada lagi....ketika itu terasa hancur luluh hati ku...tergamam aku memeluk ibu...dia meninggal ketika aku baru ingin menyuapkan air ke mulutnya.

Sedihnya bukan kepalang, tetapi aku kuatkan semangat menalipon adik beradik yang lain dan disaat itu aku sudha merasakan suatu kekosongan yang menerjah diri ku.
Terlalu banyak kisah suka dan duka antara aku dan ibu. Betul kata orang Ibu hanya satu di dunia...tiada galang gantinya bagi ku...Dia bagaikan malaikat yang membantu aku dikala aku dalam kesedihan dan kesusahan. Dia lah juga tempat aku mengadu nasib dalam mengharungi liku2 hidup yang penuh ranjau ini. Bagi ku Ibu adalah tempat rujukan...dia sentiasa menasihatkan aku menjadi isteri yang baik, taat pada suami dan jangan sesekali melawan suami walaupun adakalanya terpaksa mengalah dan tersiksa.

Bagi Ibu wanita harus banyak bersabar, kuat semangat dan fikirkan anak2 serta jangan pentingkan diri sendiri. Ibu juga sering menasihatkan aku agar lebih banyak bekorban kerana ganjarannya amat besar di dunia dan akhirat.Walaupun ibu seorang suri rumah dan aku pula seorang yang bekerjaya, kehidupan kami memang jauh berbeza....namun aku dapat merasakan sifat aku yang terlalu banyak bersabar dan tabah mengharungi segala dugaan hidup tidak lain dan tidak bukan kerana sokongan ibu, dan kata2 perangsang yang diberikan kepada ku.

Ibu pernah berkata sabar itu separuh dari iman dan kita akan dapat menikmati kemanisan dari hasil kesabaran itu apabila kita meningkat usia. Aku pegang dan simpan segala kata2 ibu kerana aku percaya ganjaran bagi mereka yang sabar amat besar. Sekarang Ibu sudah tiada, yang tinggal hanya kenangan manis bersamanya dan nasihat mengenai hidup yang akan terus menjadi pegangan aku. Semoga roh Ibu ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan para shuhada....Selamat jalan Ibu ku tersayang....semoga Ibu terus berbahagia disana... Al Fatihah...