Tuesday, June 14, 2011

Boleh ke STRESS membunuh.

Pada malam isnin 12 Jun yang lalu dalam pukul 11 mlm, suami anak saudara aku sedang memandu kereta tiba-tiba 'kekejangan'. Dia tersandar di tempat duduk dengan kaki yang kejang terus menekan minyak. Anak saudara aku yang duduk dikerusi belakang yang sedang memangku anak mereka yang baru berumur 2 tahun dengan cepat menyambar stereng kereta untuk mengawal pergerakan kereta yang terus meluncur laju.

Kereta dapat dihalakan ke arah parking lot depan Restaurant Ayyuthiya yang sebaris dengan Victoria Station di Jalan Damansara. Semasa kereta melanggar 'curb' tepi jalan, kereta telah melambung dalam jarak 25 kaki dan terhempas di parking lot. Kereta terhenti disitu dengan keadaan enjin pecah.

Pekerja restoran terus memberikan bantuan dan memanggil ambulance. Kami tiba ditempat kejadian selepas 5-10 minit kemalangan berlaku. Anak saudara aku mengalami sakit kaki tapi tak serius, anak mereka berdarah di mulut kerana sebaris gigi atas telah masuk kedalam gusi. Ibu mertua yang duduk sebelahnya patah satu gigi dan bibir luka. Tetapi suami anak saudara aku telah menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sebarang kecederaan.

Usianya baru 28 tahun, seorang pakar IT. Post mortem yang dibuat tidak dapat mengesan sebarang penyakit yang boleh menyebabkan kematian. Sejarah kesihatannya memuaskan. Kes dikatogerikan sebagai kematian mengejut.

Mengikut anak saudara aku, suaminya mengalami stress yang berpunca dari tekanan kerja yang banyak dan berat. Rehat tak cukup. Tengah malam pun kena standby (on call). Tak kira masa kena pergi office bila perlu dan otak sentiasa fikir pasal kerja. Sebelum dia pergi, dia mengadu pada isterinya yang dia letih, letih sangat.

Disini timbul satu pertanyaan. Adakah stress boleh membunuh atau adakah tekanan kerja boleh membunuh?