Saturday, December 18, 2010

Balasungkawa: Haji Rafflis bin Ismail (1930 - 2010)

Tepat jam 0045hrs Jumaat 11 Muharam 1432 bersama 17 Disember 2010 ayahandaku yang amat dikasihi Haji Rafflis Ismail telah kembali ke Rahmatullah -- sesungguhnya janji Allah swt itu pasti -- tidak lewat sesaat tidak cepat seminit.




Ayahanda pergi setelah bergelut dengan barah hati selama empat tahun.

Pemergian ayahanda amat pantas. Ayahanda mengadu sakit perut pada hari Rabu. Seperti biasa ubat penahan sakit diberi segera. Alhamdulillah sakitnya lega. Tetapi ianya sementara cuma. Pada hari Khamis ayahanda mengadu sakit perut lagi. Adikku, Rafidah (beliau amat banyak berjasa kepada ayahanda) memutuskan untuk membawa ayahanda ke hospital Sg Buloh. Setelah diperiksa, doktor berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana hospital berkenaan tiada peralatan dan kepakaran untuk merawat penyakit seperti ayahanda hidapi. Kata mereka, hanya ubat penahan sakit boleh diberi.Seandainya mahu rawatan pakar, ayahanda dicadangkan dihantar ke Hospital Selayang. Ayahanda kata tak mengapa -- sakit dah mula reda. Doktor pun kata ayahanda boleh balik, tetapi sebelum dibenarkan pulang, berbondong-bondong ubat dibekalkan.

Petang hari Khamis yang sama, keadaan ayahanda semakin teruk. Sakit semakin kuat. Ayahanda muntah -- banyak sekali yang dimuntahkannya. Rafidah - kami adik beradik memanggilnya Didah - menelefonku.

"Wan, ayah mengadu sakit perut. Apa perlu Didah buat?" tanya Didah - panik. Aku kata, tenang. "Siapkan ayahanda, bawa dia ke Hospital Selayang, segera. Wan menyusul." Itu balasanku.

Tiba di hospital, keadaan ayahanda semakin teruk. Mula tidak keruan kerana menahan sakit. Doktor segera memberi morfin - penahan sakit terbaik. Selepas itu, ayahanda, seolah-olah di alam lain. Dia mula minta-minta mahu keluar hospital. Pastinya itu mustahil kerana bermacam-macam tiub sudah disambungkan pada tangan ayahanda. Malah, ayahanda diberi oksigen. Pada awalnya, doktor menjangkakan ayahanda kena serangan jantung kerana ayahanda memanifestasikan simptom-simpton serangan jantung. Nyata itu meleset dan dengan itu kesihatan ayah juga terus meleset. Doktor segera memasukkan ayah ke Wad 9A. Ayahanda tidak lama di situ. Kesihatan ayahanda semakin kritikal. Nampak seperti semakin hampir...Doktor semakin gusar. Kata mereka, ayahanda perlu segera ke Tingkat 5 -- kami pula panik. Di tingkat 5 terletaknya ICU, CCu dan HDW. Ayahanda diletakkan di HDW atau High Dependency Ward. Ayah sudah tidak memberi apa-apa respons langsung. Macam-macam bermain di kepala. "Is this the end? Can we delay the inevitable? Persoalan itu berlegar difikiran. Adik beradik sudah mula berkumpul. Ibu tiri juga berada di luar ward. Menangis. Berjam-jam menanti, lebih kurang jam 11 malam doktor memanggil semua waris. Doktor kata bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Kamidibenarkan berhimpun di katil ayahanda. Buatlah apa yang perlu. Baca Yasin. Berdoa. Buatlah apa yang perlu, kata doktor. Kami sekeluarga dibiarkan bersendirian. Ada yang membaca yassin, ada yang membisikkan syahadah di telinga ayahanda dan ada juga yang mengurut-urut kaki dan tangan ayahanda. Di hati kami berharap agar ayahanda kembali sedar dan memberikan senyuman. Tetapi terbenam jauh di ruang hati, kami tahu ayahanda sudah tiada. Tanggapan itu nyata benar. Tepat jam 1245 pagi Jumaat 11 Muharam doktor memyampaikan perkhabaran yang kami semua sudah jangkakan. "Maaf, ayahanda awak sudah tiada."

"Selamat tinggal ayahanda."



"Wan kini yatim piatu. Ayah dah pergi,dengan siapa Wan nak gaduh? Dengan siapa Wan nak tanya pasal kehidupan ini? Tidak dapat lagi Wan dengar "anecdotes" ayahanda yang menarik didengar."


Selamat tinggal ayahanda.

Maafkan segala kesilapan Wan.

Sesungguhnya kami sekeluarga redha dengan pemergian ayahanda. Berihatlah. Tenanglah. Janganlah risau mengenai kami anak-anak ayahanda. Biarlah kami mengharungi kehidupan ini. Insya Allah, ayahanda sudah memberi bekalan secukupnya untuk kami melangkah ke hadapan. Tidurlah...kami - anak-anak ayahanda - akan menyusul.

Wan doakan semoga roh ayahanda ditempatkan dikalangan orang-orang yang terpuji di sisi-Nya.

Amin dan Al Fatehah.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti.

Wednesday, December 15, 2010

Blog Semakin Sepi Dengan Komen dan Tiada Sambutan

Entah apa silap dan dimana salahnya, blog kita sejak kebelakangan ni semakin kurang mendapat sambutan. Mak Aji cuba sedaya upaya menyatukan kawan-kawan dengan menulis email dan melahirkan cetusan perasaan di blog, tapi ternyata sememangnya kurang berkesan. kalau ada yang membalas cuma dua tiga orang sahaja. Itu pun dengan sepatah dua kata yang seakan melepaskan batuk ditangga.

Mak Aji pernah teringat kata-kata Allahyarham kentat atau Kamarudzaman semasa hayatnya yang aktif menulis diblog KLP setahun lalu, katanya beliau agak sedih bila blog tak ada sambutan, akhirnya menyuruh Mak Aji uploadkan lagu2 dan zikir untuk tatapan rakan2...rupa2nya permintaan itu adalah permintaan terakhir beliau sebelum meninggalkan kita buat selamanya. Selepas beliau tiada, blog kembali aktif...tapi dah terlambat kan...sekarang blog kembali kusam dan tidak bermaya...

Kawan2...jika ada yang terkecil hati dan berselisih faham serta mungkin ada sedikit perasaan kurang senang sesama rakan-rakan KLP yang lain...kita maafkan sahaja...kita manusia biasa yang tidak sunyi dari membuat salah dan silap...beri lah kemaafan kepada rakan kerana pada usia kita belum tentu esok masih ada buat kita.

Sama-samalah kita menghargai sebuah persahabatan yang terjalin semula setelah terputus hampir 30 tahun lalu. Hargai masa yang Allah berikan pada kita ketika ini.Mak Aji mohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan yang mungkin ada tersingung dan berkecil hati dengan mak Aji. Mungkin jika selepas ini blog semakin suram dan tiada sambutan Mak Aji akan menarik diri dari menjadi contributer kepada blog ini. Fikir-fikirkan lah sahabat2 semua....

Salam Ukhuwah buat semua....