Wednesday, August 17, 2011

Akhirnya Aku ditinggalkan juga....


Aku amat takut perkara ini berlaku. Namun sebagai manusia aku harus menerima kenyataan bahawa yang hidup akan mati dan kita semua akan kembali kepada Maha pencipta kita. Mimpi buruk aku ditinggalkan Ibu sering bermain dalam tidur ku...Akhirnya tanggal 11 ogos ianya menjadi kenyataan...tarikh itu tidak mungkin dapat aku lupakan selama-lamanya. Saat kehilangan bonda tercinta sekali gus membuat separuh jiwa ku hilang. Sukar menerimanya tapi hidup ini mesti diteruskan....

Dua bulan sebelum ibu ku menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia jatuh sakit yang amat teruk sehingga tidak berdaya untuk bangun. Aku menguruskan keperluan ibuku dan sanggup tidak bekerja kerana aku tak sampai hati membiarkan dia dalam keadaan yang amat uzur...aku juga ingin menjaganya dengan sebaik mungkin supaya dia cepat sembuh. Orang kata kasih sayang dan perhatian seorang anak dapat menyembuhkan apa juga penyakit. Berdasarkan itu aku cuba sedaya upaya untuk memberikan terbaik kepada ibu ku agar dia dapat sihat dan kembali bersama ku seperti waktu dulu. Kita merancang tapi Allah menentukan segalanya...walaupun aku telah mencuba yang terbaik...Namun keadaan ibu semakin hari semakin parah. Aku terpaksa membawa ibu kehospital untuk menerima rawatan. Setelah berada di unit ICU selama dua minggu ibu minta pulang. Dia sudah tidak tahan dicucuk dan ditebuk kerana penyakitnya itu. Aku akur pada permintaan ibu dan aku bawa dia pulang kerumah.

Tiga minggu berada dirumah keadaan ibu semakin hari semakin baik. Dengan keadaan nya yang semakin pulih aku yakin dia akan sihat seperti biasa. namun takdir telah menentukan segalanya...Dua hari sebelum meninggal ibu menangis sepanjang hari meminta aku memeluknya dan jangan tinggalkan dia walau sekejap. Keadaannya masa itu tidak teruk tetapi dia mahukan perhatian yang teramat lebih. Malam sebelum meninggal dunia, Ibu menjadi pendiam, tapi sewaktu tidur dengan ibu aku peluk dia dan cium dahinya sambil membaca Al Fatihah dan Asma Ul Husna....tiba2 Ibu batuk dan meminta air, aku bingkas bangun dan mengambil air, tatkala menyuapkan air ke mulut ibu ...dia sesak nafas dan dengan tiga kali menarik nafas ibu telah tiada lagi....ketika itu terasa hancur luluh hati ku...tergamam aku memeluk ibu...dia meninggal ketika aku baru ingin menyuapkan air ke mulutnya.

Sedihnya bukan kepalang, tetapi aku kuatkan semangat menalipon adik beradik yang lain dan disaat itu aku sudha merasakan suatu kekosongan yang menerjah diri ku.
Terlalu banyak kisah suka dan duka antara aku dan ibu. Betul kata orang Ibu hanya satu di dunia...tiada galang gantinya bagi ku...Dia bagaikan malaikat yang membantu aku dikala aku dalam kesedihan dan kesusahan. Dia lah juga tempat aku mengadu nasib dalam mengharungi liku2 hidup yang penuh ranjau ini. Bagi ku Ibu adalah tempat rujukan...dia sentiasa menasihatkan aku menjadi isteri yang baik, taat pada suami dan jangan sesekali melawan suami walaupun adakalanya terpaksa mengalah dan tersiksa.

Bagi Ibu wanita harus banyak bersabar, kuat semangat dan fikirkan anak2 serta jangan pentingkan diri sendiri. Ibu juga sering menasihatkan aku agar lebih banyak bekorban kerana ganjarannya amat besar di dunia dan akhirat.Walaupun ibu seorang suri rumah dan aku pula seorang yang bekerjaya, kehidupan kami memang jauh berbeza....namun aku dapat merasakan sifat aku yang terlalu banyak bersabar dan tabah mengharungi segala dugaan hidup tidak lain dan tidak bukan kerana sokongan ibu, dan kata2 perangsang yang diberikan kepada ku.

Ibu pernah berkata sabar itu separuh dari iman dan kita akan dapat menikmati kemanisan dari hasil kesabaran itu apabila kita meningkat usia. Aku pegang dan simpan segala kata2 ibu kerana aku percaya ganjaran bagi mereka yang sabar amat besar. Sekarang Ibu sudah tiada, yang tinggal hanya kenangan manis bersamanya dan nasihat mengenai hidup yang akan terus menjadi pegangan aku. Semoga roh Ibu ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan para shuhada....Selamat jalan Ibu ku tersayang....semoga Ibu terus berbahagia disana... Al Fatihah...

5 comments:

  1. KITA INSAN BERIMAN TAHU BAHAWA KITA SEMUA AKAN PERGI TAK MENGIRA USIA SAMADA SUKA KE?SEDIH KE? BELUM LAGI KE? TETAPI READH ATAS PRNENTIAN ILLAHI YANG ESA.HANYA JANGAN KITA MEMUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN YANG PERGI KERANA DOA DAN AMALAN UNTUKNYA DITERIMA OLEH ALLAH YANG ESA.AL FATIHAR.

    ReplyDelete
  2. Takziah .....
    Mati itu pasti. ...

    ReplyDelete
  3. Salam Takziah dari saya sekali lagi...

    Semoga roh ibu Makaji dirahmati dan diampunkan dosa2 serta ditempatkan dengan para solihin. Semoga anda mendapat pahala dan barokah di dalam menjaga ibu yg tercinta...

    Diwaktu itu, bonda saya pun telah dimasukkan ke hospital kerana sakit dan lemah badan tak boleh bangun berhari2. Bonda saya tidak selalu begitu kerana pada umur 84 beliau selalu dalam keadaan yg sihat dan cergas. Beliau pun ada meracau2 pada waktu itu dan sebagai anak kami pujuk beliau untuk ke hospital.

    Bonda pada masa ini masih dalam keadaan proses recovery di rumah walaupun doktor sahkan tidak ada apa2 penyakit serius yg dihidapinya, setakat ini...

    Apabila mendapat berita tentang ibu Makaji, saya pun tenung wajah bonda saya dan terbayang saya juga akan mengalami nasib yg sama, sekiranya bonda saya pergi dahulu. Namun waktu begini lah pergorbanan masa dan tenaga amat diperlukan untuk menjaga bonda bersama dengan kakak2 saya. Walau apapun saya redha dengan ketentuan Allah Taala.

    ReplyDelete
  4. Salam Takziah buat makji sekeluarga, thank you for sharing your story ....mati itu memang pasti, hari ni hari u n mungkin esok hari saya dan sahabat2. Saya pasti ramai dah mengalami kehilangan insan bernama IBU dan memahami apa yang dilalui makji sekarang ni. IBU saya telah pergi 12 tahun dahulu namun tidak sedetik pun saya lupa kejadian di hari pemergiannya pada 15 Ramadhan 1999. Sehingga kini saya selalu menyalahkan diri saya kerana di hari tersebut saya berada di Ktgganu beranggapan takkan nak jadi apa2 kot sebab saya pergi pagi n akan balik malam tu juga.....IBU saya meninggal di tangan kakak saya yg tolong menjaga ibu di hujung minggu semasa ketiadaan saya. Bila sampai di rumah hanya sekujur tubuh menanti saya, dulu saya selalu berkata apalah dosa saya dengan ibu kerana saya tidak diberi peluang mengucup dan memeluk ibu disaat2 akhirnya tapi kini saya redha dan berdoa ibu sekarang berada di tempat yg lebih aman insyaallah.
    Makji lebih bernasib baik dari saya, dapat memeluk, mengucup dan ibu berada di pangkuan Makji di waktu Sakaratul Maut memberi salam....dan ibu pergi di bulan penuh barakah, bersyukur dan berdoalah buat ibu.... sesungguhnya Makji dah buat yang terbaik.
    Pada kekawan semua, kita doakan ibu Makji dan ibu2 kita yang telah pergi .... al-fatihah
    Dan: Selamat menjaga ibu tersayang :)

    ReplyDelete
  5. Terima kasih...memang mati itu pasti....saya tidak menafikan...namun sebagai manusia kenangan dan ingatan kita terhadap ibu tercinta membuatkan kita amat sukar melupakan saat dia pergi dari kita, lebih2 lagi didalam pelukan saya ketika dia menarik nafasnya yang terakhir. Betul kata Rose...adakalanya kita terkilan terhadap sesuatu...macam saya sendiri ,saya juga tidak pernah melupakan saat ayah saya meninggal 20 tahun lalu, kerana saya juga yang mengadap dia pergi...( waktu itu saya seorang bersama arwah ayah di hospital) dengan renungan matanya yang sayu memandang tepat kearah saya...

    Rakan2..pernahkah membaca mengenai tahun kesedihan nabi...baginda juga terlalu sedih diatas kematian isterinya yang tercinta Siti Khadijah dan kerana kesedihan Nabi...Allah menyuruh malaikat membantu Nabi melalui saat yang paling sukar dalam hidup Nabi.

    Sebagai manusia...kita memang redha atas segala ketentuan NYA...namun kita tidak dapat mengelak dari mengingati kenangan dan saat2 bersama orang yang paling kita cintai itu. Al Fatihah buat semua yang sudah tamat Fasa kehidupannya di sini. Kita pula masih menanti...dan tidak tahu nasib kita...

    ReplyDelete

You are free to comment here...