Monday, August 3, 2009

HARGAILAH ORANG YANG TERSAYANG \(^_^)/



Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan “benda” yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin “diberikan” akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam… tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih… mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh “kedutan” itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu “mercu tanda” pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.

Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati “turun” ke mata. Yang kita lihat bukan “body” tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi… tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!

Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang “sakit” – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara…

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi… Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang ‘hilang’ akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang ‘pergi’… akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak ‘pulang’ atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda ‘pergi’ atau dia yang ‘pergi’. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!

3 comments:

  1. Kebiasaanynya bila seseorang yang dekat dengan hati dan hidup kita telah tiada, barulah kita merasakan kehilangannya. Bertambah sedih lagi kalau kita tak berkesempatan nak berbakti untuk mereka yang telah pergi. Masa tidak lagi boleh diputarkan untuk kita karna kita yang mengejar masa. Peringatan ini untuk aku juga.

    ReplyDelete
  2. Sesuatu yang amat menyentuh perasaan. Sue...thanks for that.

    ReplyDelete
  3. Kebelakangan ni terlalu ramai orang yang dekat pada ku yang telah pergi....ianya membuka mata dan hati ini memberitahu yang bila-bila masa dan ketika akan muncul masa kita sendiri. Pengalaman arwah Ipin dan Nan sentiasa di ingatan, begitu juga arwah makcik besah dan apek tupperware yang selalu berjenaka dengan ku juga telah pergi secara mengejut. Aku jadi takut bila mengenangkan jika sekiranya orang yang paling dekat dengan ku pergi tanpa meninggalkan pesan...yesss su....thanks for the reminder, memang kekadang kita lupa....

    ReplyDelete

You are free to comment here...